pEmIn@t DuNi@ p@r@nOrM@L...

pEmIn@t DuNi@ p@r@nOrM@L...

Sunday, September 29, 2013

Realiti, Mimpi Atau Mistik (MW) ~ Kaki pancing Disorok Bunian.

                                           
            Ramai yang tahu Hassan kaki pancing. Dia sanggup berhabisan wang ringgit semata-mata mahu memiliki joran yang terbaik. Sejak kecil lagi, itulah hobi Hassan. Pemuda ini akan menghabiskan masanya dengan memancing di sungai-sungai berdekatan kampungnya,
            
       Bagi Hassan itulah dunianya. Sudah puas Mak senah membebel kepada anak sulungnya itu, supaya kurangkan aktiviti memancing namun tidak dipedulikan. Ibarat mencurah air di daun keladi, begitulah perangai Hassan. Dia langsung tidak mempedulikan cakap-cakap orang di sekelilingnya. Hassan tidak mempunyai kerja tetap dan hanya sesekali melakukan kerja kampung.
     
      Hasil dari kerja sampingan itulah Hassan mengumpulnya sedikit wang demi wang untuk membeli peralatan memancing. Dia sanggup memakai pakaian yang koyak dari membeli pakaian baru. Baginya, duit yang ada hanya boleh digunakan untuk membeli peralatan memancing sahaja.
           
         Malah, anak-anak kecil sering memanggilnya ‘Hassan gila’ kerana sering berpakaian compang-camping. Pagi itu, awal-awal lagi Hassan sudah bangun mencari cacing dan cengkerik untuk dijadikan umpan. Lokasinya tidaklah jauh cuma di belakang rumah. Manakala umpan cengkerik dibelinya di kedai Ah Chng di kampung.
           
           Oleh kerana tidak berapa sihat dan tidak boleh berjalan jauh, kali ini Hassan hanya pergi ke kampung sebelah. Sudah banyak kali dia ke lokasi tersebutyang juga lokasi kegemarannya yang terdapat banyak ikan. Ikan yang diperoleh akandi jual di pasar malam atau dimakan sendiri mengikut moodnya pada hari itu.
            
     Setelah Berjaya mendapatkan umpan, Hassan bergegas menaiki motor buruk peninggalan arwah ayahnya. Itulah satu-satunya harta yang ditinggalkan untuk kemudahannya bersama adik dan ibunya. Pernah selama sebulan mereka ‘patah kaki’ gara-gara motor tersebut rosak. Puaslah Mak Senah mengamuk kerana anak bongsunya, Ripin membawa motor tanpa pengetahuannya.

Wanita berjubah putih
            
     Setelah sampai ke destinasi yang dituju, Hassan meletakkan motor di tempat biasa. Hari ini sunyi dan tiada kelihatan pemancing yang lain. Kebiasaannya keadaan di situ agak meriah dengan kehadiran pemancing lain. Namun kali ini keadaan begitu hening.
            
        “Nampak gayanya hari ini bolehlah aku pulun sorang-sorang. Pasti ikan masih banyak dan senang dipancing kerana suasana tidak bising dan tiada saingan. Peluang inilah yang aku tunggu-tunggu selama ini,’getus Hassan sambil menyingsing seluarnya agar tidak terkena lumpur.
           
         Tanpa membuang masa, Hassan mengeluarkan umpan yang masih hidup. Dia mencari tempat yang paling sesuai dan teduh. Ketika itu dia ternampak sebatang pokok betul-betul di tepi sungai lalu terus pergi ke sana. Joran yang sudah dipasang umpan dibalingnya jauh-jauh ke tengah sungai.
           
         Ketika dia khusyuk menunggu umpan disambar ikan, tiba-tiba dia ternampak kelibat seorang wanita berjubah putih melambai-lambai ke arahnya. Hassan langsung tidak menunjukkan sikap takut malah rasa ingin tahu mula menguasai dirinya.

Tanpa rasa ragu-ragu, Hassan pergi mendekati wanita berjubah putih itu yang sejak tadi melambai-lambai ke arah Hassan. Wanita itu menyapanya dengan lembut dan mempelawanya makan dengan bekalan yang dibawa.

Mereka berbual-bual sambil menikmati makan tengahari. Hassan terpesona dengan kecantikan dan kelembutan wanita tersebut tanpa disedari hari makin senja. Sebaik sahaja menyedari hari sudah lewat, Hassan meminta izin untuk berundur. Tiba-tiba Hassan terdengar orang memanggil-manggil namanya. Puas dia mencari dari mana arah suara itu.

Setelah beberapa jam kemudian, Hassan akhirnya bertemu dengan orang yang memanggil namanya. Hassan terkejut kerana bukan seorang yang memanggilnya tetapi boleh dikatakan satu kampung malah pihak polis dan bomba juga turut sama.

Rupa- rupanya Hassan sudah lima hari tidak balik. Dia dilaporkan hilang sejak hari pertama dia pergi memancing di sungai tersebut. Lantaran berita kehilangannya tersebar, ramai orang kampung turut membantu pihak polis dan bomba mencarinya. Mereka hanya menjumpai motor dan joran yang masih tergantung. Namun, kelibat Hassan, langsung tidak kelihatan.

Akhirnya Hassan dijumpai tidak jauh dari tempat dia memancing dalam keadaan lemah dan pucat. Malah, lokasi di mana dia dijumpai, sudah beberapa kali dilalui oleh orang ramai yang mencarinya. Hassan menceritakan apa yang terjadi dan sekejap sahaja berita Hassan disorok bunian tersebar di seluruh kampung.

           

           


Wednesday, September 18, 2013

Rumah Penunggu Episod 2 (Kajian Bersama Wujud Paranormal & Jejak Mistik)



Tinjauan kali ini melibatkan 2 team paranormal iaitu Wujud Paranormal & Jejak Mistik ke satu lokasi di Bangi . Rumah ini telah lama ditinggalkan tanpa penghuni , mengikut kisah dari penduduk setempat . Mereka sering kali terlihat kelibat lembaga di kawasan rumah tersebut yang menyerupai keluarga pemilik rumah ini.

PAGparanormal Season 2 Episod 4 (Penjara Pudu)

sinopsis novel Tamar Jalis : Bercakap Dengan Jin (1)




Kerana sering mendampingi datuknya di mana-mana, secara senyap-senyap Tamar Jalis (TJ) mengutip dan menghimpun pengalaman, lalu diabadikan dalam Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) yang berjaya memukau ribuan pencinta kisah seram.

Kini, TJ muncul kembali bersama siri buku-buku SBDJ. Bukan hasrat TJ mengajak pembaca mempercayai perkara-perkara tahyul. Tetapi, sekelumit pengalaman bersama datuk meyakinkan, bahawa sesuatu yang tidak terjangkau oleh akal manusia akan berlaku sekiranya diizinkan oleh Allah.

Mungkin ada yang berpendapat SBDJ sebuah dongeng di zaman moden yang sengaja diadda-adakan. Mungkin ada yang tidak beranggapan sedemikian. Walau apa pun terpulanglah kepada diri masing-masing.

Sesungguhnya syaitan dan iblis telah wujud lebih awal dari manusia dan berazam untuk menjahanamkan anak Adam. Kerana manusia itu makhluk Allah yang teristimewa, Allah memberikan kekuatan kepada manusia untuk menghalang perbuatan syaitan dan iblis terhadap manusia dengan kekuatan iman dan takwa.

Tanpa iman dan takwa, manusia akan jadi hamba syaitan dan iblis. Inilah gambaran yang dijalin oleh TJ dalam SBDJ yang secara tidak langsung mengajak pembaca berfikir untuk mencari sesuatu yang baik agar menjadi manusia sempurna mengkagumi dan menghayati kebesaran Allah.

Cerita seram: Roh wanita di rumah sewa - Seksyen 7, Shah Alam


Seperti satu kebiasaan, rumah sewa yang sepatutnya mahal, tiba-tiba menjadi murah sering dikaitkan dengan kejadian yang menyeramkan. Ini kerana tuan rumah seperti terdesak untuk mencari penyewa tanpa memaklumkan perihal yang berlaku di rumah tersebut. Seperti yang berlaku di Syeksyen 7 Shah Alam. Namun kami difahamkan rumah sewa di Shah Alam sebenarnya tidak benar seperti yang didakwa oleh pemilik dan jiran terdekat. Jom ikuti kisah di bawah ini.
“Abang dah jumpa rumah yang sesuai untuk kita. Kalau tak ada masalah, hujung bulan ni kita pindah. Rasanya sesuai untuk kita berdua. Kalau ada saudara mara yang datang pun senang sebab rumah tu besar,” ujar Amil kepada isterinya, Niza.

“Rumah kat mana bang. Senang ke saya nak pergi kerja,” tanya Niza membalas cakap suaminya. “Di kampung seberang. Sewanya pun murah, RM400 sebulan. Rumah teres dua tingkat. Masa pusing-pusing di kampung seberang, abang ternampak papan tanda rumah untuk disewa. Tuan rumah pun tak banyak tanya, terus sahaja setuju bila abang cakap nak sewa. Malah dia tak minta pun dulu duit pendahuluan macam orang lain. Lagipun tak seronoklah duduk di rumah mak. Sekurang-kurangnya kita perlu berdikari,” jelas Amil bersungguh-sungguh.

Baru sebulan berkahwin, sememangnya Amil mahu hidup berdikari. Dia tidak mahu menyusahkan keluarga mentuanya apabila tinggal bersama. Lagipun dia perlu suasana yang tenteram kerana kerjaya sebagai pelukis membuatkan dia lebih senang berseorangan agar ilhamnya lebih kreatif. Cukup bulan, pengantin baru ini menganbil keputusan berpindah rumah. Biarpun keluarga mentuanya tidak berapa bersetuju tetapi selepas menjelaskan sebab-sebabnya, mereka mengizinkan tambahan pula mereka bersetuju untuk sekerap mungkin balik menjenguk keluarga mentua.

Seharian mengemas, menyebabkan Amil dan isterinya keletihan malam itu. Dia tidur agak nyenyak tetapi malangnya mata Niza tidak juga mahu lelap. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena, dadanya rasa berdebar-debar yang alang kepalang. Sejenak dia memusingkan tubuhnya, suaminya tidur begitu nyenyak sekali, siap berdengkur. Puas dia mengiring, kiri dan kanan, malangnya matanya tidak mahu lelap. Sejenak Niza bangun dari perbaringannya, dia mahu minum air bagi menghilangkan dahaganya. Semasa dia mahu meneguk air,serentak itu satu bunyi dentuman pintu agak kuat berbunyi. Dia menjerit ketakutan. Matanya meliar. Puas dia memangdang kiri dan kanan. Puas hatinya berfikir, kenapa pintu bilik air berdentum kuat sedangkan bukan ada angin yang bertiup. Meremang bulu romanya, segera dia minum dan bergegas naik ke tingkat atas. Suaminya masih lagi tidur selena-lenanya. Malam itu sedikit pun dia tidak dapat melelapkan matanya.

“Kenapa mata sayang nampak sembap. Tak tidur lena ke duduk rumah baru,” gurau suaminya.

“Entahlah bang, mata Niza tak boleh lelap walaupun seketika. Rasa macam ada mata yang mengintai dan melihat apa yang kita buat. Malam tadi pun masa abang tengah nyenyak tidur, Niza turun ke bawah untuk minum air. Tak semena-mena pintu bilik air berdentum tertutup dengan sendiri. Niza rasa tak sedap hatilah bang tinggal di sini,” jelasnya.

“Ada-ada sajalah Niza ni, abang tak ada rasa apa yang ayang rasa. Agaknya ayang tak biasa lagi kot, tinggal di rumah baru. Hah! Kalau ada hantu nak kacau, kejutkan saja abang, tahu lah abang kung fu dia,” gurau Amil sambil menunjukkan gaya kung fu nya.

“Hah! Abang ingat nak keluar hari ni, ada urusan dengan Hamid. Dia nak bincang mengenai pameran lukisan secara solo dengan abang. Insyallah, kalau jadi projek ni, nampak gayanya kita berbulan madu di luar negara lah,” gurau Amil lagi bagi menyedapkan hati isterinya.

“Abang balik tak tengahari ni. Kalau balik saya nak masak lebih, nanti tak adalah nak membazir sangat.”

“Insyallah, kalau bincang habis cepat, abang balik cepat,” guraunya lagi. Malam itu, sekali lagi Niza tidak dapat lagi melelapkan matanya. Puas dia berpusing kiri dan kanan dan ketika mahu turun ke tingkat bawah, dia nampak bayang-bayang seorang kanak-kanak kecil sedang melompat-lompat ruang tengah rumah. Gementar hatinya. Mana ada budak kecil tinggal di sini, fikir hatinya. Serentak itu, dia menggigil ketakutan dan pantas berlari mengunci bilik tidurnya.

Gangguang demi gangguan dialaminya setiap hari sehingga Niza jatuh sakit. Jika hari sebelumnya dia ternampak bayang kanak-kanak melompat-lompat di ruang tamu rumah, kali ini dia terpandang satu wajah yang mengerikan. Dengan lidah yang terjelir dan rambut kusut masai, wajah mengerikan itu terus memandang dirinya. Niza meracau-racau apabila terpandang wajah hodoh itu.

Puas suaminya meminta bantuan bomoh tetapi semuanya mengaku kalah kerana rumah yang mereka duduki itu agak keras. Seorang kawan memperkenalkan dirinya dengan Ustaz Amran. Tiga hari tiga malam ustaz Amran mengubati isterinya dan alhamdulilah, sembuh sepenuhnya. Mengikut Ustaz Amran, roh wanita yang telah dilihat Niza telah lama berkeliaran di rumah tersebut kerana membunuh diri disebabkan tidak tahan didera suaminya. Dia telah mengelar pergelangan tangan anak kecilnya yang berusia tiga tahun kerana tidak tahan dengan sikap suami yang main kayu tiga.

Patutlah tuan rumah segera meyewakan rumah itu kepada Amil tanpa banyak soal. Rupanya tersimpan misteri yang tidak terungkap sebelum ini.

Cerita Seram:-Gadis ghaib muncul di kubur



Sebuah keluarga bingung apabila anak gadisnya sering ghaib ketika berada di rumah. Gadis yang sering ghaib ini adakalanya muncul kembali di kawasan tanah perkuburan.


Jika sebelum ini, mungkin ada yang pernah membaca kisah tentang seorang lelaki yang ghaib namun kemudiannya ia muncul di Tanah Suci Mekah. Walaubagaimanapun kisah itu sudah lama berlalu, kini terdapat satu kisah di mana seorang gadis sering ghaib di rumah, namun demikian, ia muncul semula tetapi bukanlah di rumah, tetapi dikawasan kubur. Kisah misteri ini mendapat perhatian dari penduduk setempat.
”Ibu cepatlah datang segera ke kubur, Siti takut tiada orang lain di sini.” Itulah khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Siti Balqis Mohd Nor, gadis yang mendakwa sering ghaib dari rumah selepas tiba-tiba menyedari berada di perkuburan Kampung Bukit Kenak, kira-kira lima kilometer dari rumahnya tiga hari sebelum Aidilfitri lalu.

Siti Balqis (atas), 22, yang menghadapi gangguan misteri sejak dua bulan lalu menyebabkannya sering ghaib dari rumahnya di Kampung Gong Nangka, Apal, di sini mendakwa ketika itu telefon bimbit yang ada bersamanya menunjukkan jam 2 pagi.

“Namun, saya tidak tahu bagaimana boleh berada di tanah perkuburan dan lebih dahsyat saya berada di dua tanah perkuburan pada malam itu.

Selepas tersedar berada di kubur Kampung Bukit Kenak, saya tiba-tiba berada pula di kubur Kampung Gong Rengas, kira-kira 10 kilometer dari rumah kami,” katanya ketika ditemui semalam.

Siti Balqis mendakwa hanya mengetahui kisah kubur berkenaan apabila dibawa semula ke kawasan berkenaan, tetapi hingga kini tidak tahu siapa yang membawanya, apa yang dilihat dan dilakukannya sepanjang lima hingga enam jam berada ‘di alam ghaib’.

Namun, Siti Balqis mendakwa sepanjang di tanah perkuburan itu, dia mendengar orang menangis, meminta tolong dan mengaji al-Quran.

Sementara itu, ibunya, Norizan Said, 47, berkata, pada malam mendapat SMS Siti Balqis, beliau bersama suami serta seorang lagi anaknya bergegas ke kubur berkenaan, tetapi selepas puas mencari, mereka tidak menemuinya.

“Kami bergegas pula ke kubur di Kampung Gong Rengas dan di satu kubur baru, ada bekas seperti diduduki seseorang, tetapi Siti tiada di situ,” katanya dan menambah mereka kemudian ke Balai Polis Jertih pada jam 5 pagi untuk membuat laporan.

Bagaimanapun, sejurus masuk ke rumah kira-kira jam 6 pagi, Siti muncul di depan rumah dengan tubuhnya dibasahi air dan baju berlumuran tanah merah.

Kisah Siti Balqis menggemparkan penduduk daerah ini hinggakan ramai yang sukarela membantu berjaga bersama keluarganya selepas anak sulung empat beradik itudikatakan ghaib ke pelbagai tempat termasuk siling rumah, atas pokok, dalam mesin pembancuh simen dan atas kubur.

Siti Balqis juga mendakwa dia luka pada tangan dan kaki ketika berada di sebuah mesin pembancuh simen tidak jauh dari rumah dan ketika di atas pokok manggis, di belakang rumahnya.

Dia juga mendakwa ternampak saudara mara dan orang kampung mencarinya, malah ketika berada di sebuah rumah tinggal, dia menyentuh bapa saudaranya tetapi tidak perasan kehadirannya.

Malam tadi, Norizan menggunakan khidmat tujuh bomoh untuk mengubati anaknya secara tradisional dan wakil Berita Harian turut berada di rumah Siti Balqis bagi meninjau dan memastikan dakwaan dia ghaib.

Sementara itu, kalangan ahli agama di negeri ini berpendapat kejadian itu mungkin disebabkan gangguan jin yang cuba merosak keimanan manusia dan cara terbaik mengatasinya ialah amalan zikir dan membaca al-Quran serta solat hajat dan tahajud.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh, berkata kejadian adalah luar biasa tetapi perlu dilihat secara positif dari sudut agama.

Muhammad Ramli berkata, cara terbaik mengatasinya ialah ahli keluarga Siti Balqis sentiasa berdoa kepada Allah meminta dilindungi daripada perbuatan sihir dan diganggu syaitan.

Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri (Operasi), Omar Musa, pula berkata apa yang dialami Siti Balqis itu mungkin ada kaitan dengan gangguan makhluk halus.

Katanya, keluarga mangsa hendaklah bersabar dan mendapatkan rawatan alternatif perubatan Islam bagi membolehkannya tidak lagi diganggu oleh makhluk halus.

“Tetapi, perlu diingatkan jangan sekali-kali beranggapan apa yang terjadi terhadap Siti Balqis ada kaitan dengan keramat kerana ada makhluk jin yang mahu merosakkan dan menyesatkan pemikiran dan akidah orang Islam,” katanya

Detik 12 Malam TV3 Episode 1 Penggali Kubur - Part 1 [Full Episode]

Detik 12 Malam TV3 Episode 1 Penggali Kubur - Part 2 [Full Episode]

Tuesday, September 17, 2013

Detik 12 Malam TV3 Episode 7 Warden Asrama - Part 1 [Full Episode]

Detik 12 Malam TV3 Episode 7 Warden Asrama - Part 2 [Full Episode]

Detik 12 Malam TV3 Episode 7 Warden Asrama - Part 3 [Full Episode]

Detik 12 Malam TV3 Episode 7 Warden Asrama - Part 4 [Full Episode]

Detik 12 Malam TV3 Episode 9 Paramedik - Part 1 [Full Episode]

Detik 12 Malam TV3 Episode 9 Paramedik - Part 2 [Full Episode]

Detik 12 Malam TV3 Episode 9 Paramedik - Part 3 [Full Episode]

Detik 12 Malam TV3 Episode 9 Paramedik - Part 4 [Full Episode]

Detik 12 Malam TV3 Episode 12 Penjaga Bilik Mayat - Part 1 [Full Episode]

Detik 12 Malam TV3 Episode 12 Penjaga Bilik Mayat - Part 2 [Full Episode]

Detik 12 Malam TV3 Episode 12 Penjaga Bilik Mayat - Part 3 [Full Episode]

Detik 12 Malam TV3 Episode 12 Penjaga Bilik Mayat - Part 4 [Full Episode]


banglo misteri villa nabila

banglo misteri villa nabila

ghost

ghost