pEmIn@t DuNi@ p@r@nOrM@L...

pEmIn@t DuNi@ p@r@nOrM@L...

Sunday, September 29, 2013

Realiti, Mimpi Atau Mistik (MW) ~ Kaki pancing Disorok Bunian.

                                           
            Ramai yang tahu Hassan kaki pancing. Dia sanggup berhabisan wang ringgit semata-mata mahu memiliki joran yang terbaik. Sejak kecil lagi, itulah hobi Hassan. Pemuda ini akan menghabiskan masanya dengan memancing di sungai-sungai berdekatan kampungnya,
            
       Bagi Hassan itulah dunianya. Sudah puas Mak senah membebel kepada anak sulungnya itu, supaya kurangkan aktiviti memancing namun tidak dipedulikan. Ibarat mencurah air di daun keladi, begitulah perangai Hassan. Dia langsung tidak mempedulikan cakap-cakap orang di sekelilingnya. Hassan tidak mempunyai kerja tetap dan hanya sesekali melakukan kerja kampung.
     
      Hasil dari kerja sampingan itulah Hassan mengumpulnya sedikit wang demi wang untuk membeli peralatan memancing. Dia sanggup memakai pakaian yang koyak dari membeli pakaian baru. Baginya, duit yang ada hanya boleh digunakan untuk membeli peralatan memancing sahaja.
           
         Malah, anak-anak kecil sering memanggilnya ‘Hassan gila’ kerana sering berpakaian compang-camping. Pagi itu, awal-awal lagi Hassan sudah bangun mencari cacing dan cengkerik untuk dijadikan umpan. Lokasinya tidaklah jauh cuma di belakang rumah. Manakala umpan cengkerik dibelinya di kedai Ah Chng di kampung.
           
           Oleh kerana tidak berapa sihat dan tidak boleh berjalan jauh, kali ini Hassan hanya pergi ke kampung sebelah. Sudah banyak kali dia ke lokasi tersebutyang juga lokasi kegemarannya yang terdapat banyak ikan. Ikan yang diperoleh akandi jual di pasar malam atau dimakan sendiri mengikut moodnya pada hari itu.
            
     Setelah Berjaya mendapatkan umpan, Hassan bergegas menaiki motor buruk peninggalan arwah ayahnya. Itulah satu-satunya harta yang ditinggalkan untuk kemudahannya bersama adik dan ibunya. Pernah selama sebulan mereka ‘patah kaki’ gara-gara motor tersebut rosak. Puaslah Mak Senah mengamuk kerana anak bongsunya, Ripin membawa motor tanpa pengetahuannya.

Wanita berjubah putih
            
     Setelah sampai ke destinasi yang dituju, Hassan meletakkan motor di tempat biasa. Hari ini sunyi dan tiada kelihatan pemancing yang lain. Kebiasaannya keadaan di situ agak meriah dengan kehadiran pemancing lain. Namun kali ini keadaan begitu hening.
            
        “Nampak gayanya hari ini bolehlah aku pulun sorang-sorang. Pasti ikan masih banyak dan senang dipancing kerana suasana tidak bising dan tiada saingan. Peluang inilah yang aku tunggu-tunggu selama ini,’getus Hassan sambil menyingsing seluarnya agar tidak terkena lumpur.
           
         Tanpa membuang masa, Hassan mengeluarkan umpan yang masih hidup. Dia mencari tempat yang paling sesuai dan teduh. Ketika itu dia ternampak sebatang pokok betul-betul di tepi sungai lalu terus pergi ke sana. Joran yang sudah dipasang umpan dibalingnya jauh-jauh ke tengah sungai.
           
         Ketika dia khusyuk menunggu umpan disambar ikan, tiba-tiba dia ternampak kelibat seorang wanita berjubah putih melambai-lambai ke arahnya. Hassan langsung tidak menunjukkan sikap takut malah rasa ingin tahu mula menguasai dirinya.

Tanpa rasa ragu-ragu, Hassan pergi mendekati wanita berjubah putih itu yang sejak tadi melambai-lambai ke arah Hassan. Wanita itu menyapanya dengan lembut dan mempelawanya makan dengan bekalan yang dibawa.

Mereka berbual-bual sambil menikmati makan tengahari. Hassan terpesona dengan kecantikan dan kelembutan wanita tersebut tanpa disedari hari makin senja. Sebaik sahaja menyedari hari sudah lewat, Hassan meminta izin untuk berundur. Tiba-tiba Hassan terdengar orang memanggil-manggil namanya. Puas dia mencari dari mana arah suara itu.

Setelah beberapa jam kemudian, Hassan akhirnya bertemu dengan orang yang memanggil namanya. Hassan terkejut kerana bukan seorang yang memanggilnya tetapi boleh dikatakan satu kampung malah pihak polis dan bomba juga turut sama.

Rupa- rupanya Hassan sudah lima hari tidak balik. Dia dilaporkan hilang sejak hari pertama dia pergi memancing di sungai tersebut. Lantaran berita kehilangannya tersebar, ramai orang kampung turut membantu pihak polis dan bomba mencarinya. Mereka hanya menjumpai motor dan joran yang masih tergantung. Namun, kelibat Hassan, langsung tidak kelihatan.

Akhirnya Hassan dijumpai tidak jauh dari tempat dia memancing dalam keadaan lemah dan pucat. Malah, lokasi di mana dia dijumpai, sudah beberapa kali dilalui oleh orang ramai yang mencarinya. Hassan menceritakan apa yang terjadi dan sekejap sahaja berita Hassan disorok bunian tersebar di seluruh kampung.

           

           


No comments:

Post a Comment


banglo misteri villa nabila

banglo misteri villa nabila

ghost

ghost